Selasa, 22 Januari 2013

Siapakah Muhammad al Fateh



Nama sebenar Baginda ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid. Baginda telah dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi (833H) di Adrianapolis (sebuah bandar bersempadankan Turki – Bulgaria).
Baginda dikenali dengan gelaran ‘Muhammad Al Fateh’ kerana kejayaannya membebaskan kota Constantinople.
Baginda telah menaiki takhta seawal berusia 19 tahun lagi apabila menggantikan ayahandanya Sultan Murad II. Baginda telah memerintah empayar yang begitu luas selama kira-kira 30 tahun di antara tahun 1451–1481M. Baginda merupakan seorang   negarawan yang ulung dan seorang panglima tentera agung yang telah memimpin sebanyak 25 kempen peperangan. Baginda telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 (855H) ketika berumur 49 tahun.



Bagaimanakah kehebatan pendidikan Baginda?


Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak dibuktikan pada ketinggian keperibadian dan kesungguhan Baginda di dalam menjalani hidupnya. Semenjak kecil ayahandanya, Sultan Murad II telah membawa para ulama yang berwibawa untuk mendidik Muhammad all-Fateh secara intensif dan bersepadu.
Sheikh Muhammad Bin Ismail al Kurany telah diamanahkan untuk mengetuai barisan pendidik kepada Muhammad al-Fateh. Beliau telah diberikan autoriti untuk memukul Muhammad sekiranya diperlukan. Bahkan beliau pernah diberikan hadiah penghargaan oleh Sultan Murad II kerana beliau telah memukul Muhamamad al-Fateh dalam rangka untuk mendidiknya secara serius. Ini dibuktikan sehingga Muhammad al-Fateh dapat menghafal al Quran dalam tempoh yang pendek.
Guru sebenar yang membimbing Baginda secara bersepadu ialah Sheikh Shamsuddin al Wali yang merupakan seorang ulama yang hebat daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.


Muhammad al-Fateh telah diyakinkan semenjak kecil oleh Sheikh Shamsuddin bahawa Baginda adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan.
Beliau mengajar Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur’an, Hadith, Feqah serta ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda.
Di dalam bidang bahasa pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.


Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun sebagai pemangku Khalifah dengan tujuan mendidiknya, semasa Sultan Murad II pergi bersuluk ke Pulau Magnesia. Dalam usia semuda ini Baginda telah mulai matang untuk menangani tipu helah musuh.
Apabila Baginda menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Shamsuddin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople demi merealisasikan hadith Rasulullah s.a.w berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan